Sunday, September 2, 2012

Tukang karut yang karat

Wahai tukang karut yang karat
Karatmu adalah kerana kekarutan
Karutmu adalah kerana kekalutan
Yang kecil kau cuba besarkan
Kaulah sial yang majal
Majal yang patutnya diberi ajal
Ajal sudah akalmu
Kerana khayal yang banal
Yang kelakar yang kau lakar
Yang sipi dalam kau sepi
Ditemani sang setani

Buat apa kau nak jadikan itu sebagai soal
Soal kecil dalam isu sivil
Bukan patut jadi bicara
Sang orang-orang yang punya akal
Tersangatlah dangkal

Benderaku bendera aku punya
Jalurku adalah jalur yang aku suka
Laguku adalah lagu aku nyanyikan
Tiada hairan jika asalnya sama
Kerana kita semua anak Adam
Kita juga anak Nuh
Kita juga berbapakan Ibrahim
Kita juga hirup oksigen
Kita juga minum air hujan
Kita juga asal dari tanah
Kita juga akan kembali kepada tanah

Kau hanyalah tukang karut yang karat
Karatmu kerana akalmu dinanahi
Oleh rasa benci untuk terus menerus dibenci 

Tuesday, August 21, 2012

Syawal kini

Ramadhan telah pergi
Berlalu ia kelmarin
Dengan seribu ceritanya
Ia merakam semua detik
Di setiap jarum jam yang berdetak
Di hati insan insafi
Kebesaran Ilahi

Kuala Lumpur kota sesak
Mulai sunyi di kala Ramadhan pergi
Apakah Syawal bukan untuk orang bandar?
Apakah kampung dan desa tempat Syawal hidup?
Jalanraya yang sesak 
Lebuhraya yang sibuk
Tanda Syawal sedang diraikan
Buat mereka yang punya ayah dan ibu
Buat mereka yang punya anak soleh
Buat mereka yang punya kampung halaman...

Bagi sanak saudara itu
Kampungnya adalah Rumah Anak Yatim
Tempat dia mulai kenal hidup
Yang ada hanya pengasuh
Yang ada hanya teman senasib
Barangkali dia anak yang ditinggalkan
Oleh sebuah penceraian pasangan insan
Kerana ibu mencari lelaki
Kerana ayah mencintai gadis
Lalu masing-masing mula memilih 
Haluan hidup berasingan

Anak kecil akhirnya jadi mangsa
Lalu dihantar datuk dan nenek
Ke Rumah Anak Yatim
Meskipun dia bukan anak yatim 
Sahabatnya adalah anak tinggalan
Oeh seorang perempuan yang mengandung sembilan bulan
Tanpa suami yang sah
Sepanjang itu ia resah
Resah tentang nak campakkan anaknya ke mana
Lalu tepian jalanan tempat anak itu menjerit
Meraung nama ibunya
Tentang kenapa? Dia ditinggalkan...

Syawal kali ini penuh makna
Kerana dua sahabat tadi mengunjungi semula
Rumah Anak Yatim
Tempat yang pernah mendewasakan mereka... 

Syawal kini amat tegas
Tak boleh menipu tak boleh beri alas
Takkan dibiarkan zalim berkuasa
Takkan dibiarkan adil ditindas

Syawal kini mula bersuara
Jangan tanah ini kau sumpah!
Jangan permainan ini kau tempah!
Bisa jadi ajal
Kepada kebisuan yang berpanjangan
Tanpa suara perjuangan...

Syawal kini mencatatkan
Dosa bukan pada mereka sahaja
Dosa adalah milik bersama
Kerana yang lain hanya terus diam 
Hanya melihat dosa dilapah
Tanpa ada usaha dan daya untuk mencegah

Syawal kini akan melakarkan 
Apa mesti kita semua lakukan...